Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, industri keselamatan swasta penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara secara langsung dan tidak langsung. Perdana Menteri berkata, industri terbabit berupaya membawa masuk teknologi keselamatan canggih selain berpotensi menghasilkan produk inovasi keselamatan yang boleh dipasarkan di dalam dan luar negara.

 

“Apabila rasa selamat diwujudkan dalam masyarakat, setiap lapisan rakyat dapat meneruskan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan sekali gus memberi kemakmuran kepada negara. “Bagaimanapun, di sini letaknya cabaran kepada pengusaha industri terbabit untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pengusaha dan pada masa sama menghasilkan produk keselamatan yang kreatif dan berinovasi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Cemerlang Industri Keselamatan Malaysia (MSIEA) anjuran Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) di sini, malam ini. Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapa Ali.

 

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) secara bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan lagi imej dan kualiti perkhidmatan pegawai keselamatan swasta. “Bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan keselamatan swasta yang baik, skim latihan yang baik dan berterusan adalah sangat penting kerana latihan dapat memastikan pegawai keselamatan sentiasa bersedia dan peka dengan cabaran keselamatan semasa. “Begitu juga kerjasama dengan universiti awam di Malaysia untuk membangunkan program pengajian yang khusus untuk pegawai keselamatan selain dapat melahirkan warga pengurusan keselamatan yang lebih mahir dan profesional,” katanya.

 

Justeru, beliau berkata, pegawai keselamatan swasta memainkan peranan penting dalam membantu polis bagi mencegah jenayah melalui penyaluran maklumat selain mewujudkan suasana selamat di tempat jagaan mereka. “Secara langsung mereka menjadi alat ‘pre-emptive strikes’ (tindakan awalan) atau ‘preventive measures’ (langkah pencegahan) yang perlu dilakukan dengan melaporkan (sesuatu kejadian) kepada pihak polis,” katanya.

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *